Wednesday, 10 August 2011

Kisah Sebuah mangkuk,madu dan rambut

Pada suatu hari, nabi Muhammad bersama para sahabat iaitu Abu bakar, Umar dan Uthman telah pergi berkunjung ke rumah Saidina Ali.Isteri Ali dan juga merupakan puteri Nabi telah menghidangkan semangkuk madu dan tanpa diduga terdapat sehelai rambut di dalamnya.

Melihat itu, Nabi telah meminta para sahabat untuk membuat perumpaaan tentang tiga barang yang terdapat di hadapan mereka iaitu sebuah mangkuk yang cantik, madu dan sehelai rambut.

Abu Bakar telah memberikan perumpamaan berikut , "Iman lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis daripada madu ini dan mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut."

Kemudian Umar pula memberikan perumpamaan,"Kerajaan itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, seorang raja yang adil lebih manis dari madu dan memerintah dengan adil lebih sukar dari meniti sehelai rambut."

Seterusnya, Uthman pula memberikan pandangan,"Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini,orang yang berilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki lebih sukar daripada meniti sehelai rambut."

Kemudian Ali sebagai tuanrumah pula memberikan pandangan,"Tetamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini,menjamu tetamu itu lebih manis dari madu dan menyenangkan hati tetamu tetamu itu sehingga ia pulang lebih sukar daripada meniti sehelai rambut."

Fatimah pula memberikan pandangan,"Seorang wanita itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini,wanita yang menutup auratnya lebih manis daripada madu dan mencari seorang wanita yang tidak pernah dilihat oleh orang lain kecuali muhrimnya lebih sukar dari meniti sehelai rambut."

Nabi Muhammad gembira dengan perumpamaan tersebut turut memberikan pandangan,"Seseorang yang memperoleh taufik dan beramal dengannya lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amalan yang baik lebih manis dari madu dan melaksanakan amalan dengan ikhlas lebih sukar daripada meniti sehelai rambut."

Tiba-tiba muncul malaikat Jibrail yang turut memberikan pandangan,"Menegakkan tiang agama lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini, menyerahkan diri, harta dan waktu bagi mengembangkan agama itu lebih manis daripada madu dan mempertahankan agama sehingga ke akhir hayat lebih sukar daripada meniti sehelai rambut."

Allah pula berkata, "SyurgaKu lebih  cantik dari mangkuk yang cantik ini,nikmat syurgaKu lebih manis daripada madu dan jalan menuju ke syurgaKu lebih sukar dari meniti sehelai rambut."

Mudah-mudah kita dapat mengambil pengajaran dari kisah ini, yang telah disampaikan dalam tazkirah ramadhan pada pagi 11 Ogos di SMKAB......

No comments:

Post a Comment