Nabi Muhammad s.a.w. memang sudah terkenal sebagai pemimpin masyarakat yang dihormati sejak sebelum menjadi rasul lagi, dan Baginda juga terkenal sebagai seorang yang amanah (al-Amin) di kalangan masyarakat Makkah. Akan tetapi oleh kerana ajaran Islam yang dibawanya menyebabkan kepimpinannya diketepikan begitu sahaja oleh masyarakat Quraisy.
Nabi Muhammad s.a.w. memiliki kualiti tinggi yang boleh memikat hati sesiapa sahaja yang baginda dampingi dan menjadi pujaan para pengikut Baginda. Baginda sangat baik, lemah lembut, merendah diri dan pengasih serta dapat memenangi hati orang ramai yang bersedia bekorban apa saja untuk Baginda.
Satu gambaran yang paling baik, mendalam dan wajar tentang Nabi Muhammad s.a.w. telah diberi oleh Umm Mu’bad, tuan khemah yang telah disinggahi Rasulullah s.a.w. ketika dalam perjalanan Baginda ke Madinah. Beliau telah memberi gambaran tentang Baginda kepada suaminya. Baginda memiliki rupa yang kacak, muka yang cerah,perwatakan yang disayangi orang, menarik, rambut panjang dan tebal, suara yang terang, mata besar dan hitam, tidak bercakap banyak, ramah mesra, memikat dan mempesonakan ketika jauh, manis dan memikat ketika dekat, ucapan dan kata-kata yang jelas, berkata-kata ketika perlu,saiz yang sederhana, tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi, seperti sesuatu yang segar dari taman yang indah dan kelihatan menarik serta sempurna binaanya. (Naeem Siddiqi. 1978:32)
Apabila berlakunya hijrah ke Madinah dan terbentuknya masyarakat Islam Madinah yang dianggotai kaum Muhajirin dan Ansar, sifat-sifat kepimpinan baginda dalam masyarakat terserlah kembali, malah keadaannya lebih hebat lagi. Sebagai bukti, Baginda telah berjaya menyatukan semula masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan setelah berlaku perpecahan begitu lama. Di samping itu, Baginda mengeratkan lagi hubungan di kalangan masyarakat Islam sendiri melalui usaha gigihnya melalui persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.
Melalui penyatuan ini, sama ada sesama Islam atau antara orang Islam dengan bukan Islam menyebabkan masyarakat Madinah menjadi kuat, aman dan stabil dari segi politik dan ekonominya.
Bagi mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah, Baginda menyeru supaya mereka bekerjasama dan bantu-membantu serta sama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan Kota Madinah. Perkara ini dinyatakan dalam Piagam Madinah. Begitu juga dinyatakan mengenai prinsip kebebasan beragama. Di samping menghormati agama Islam dan nilai-nilai Islam, ia juga tidak menafikan agama-agama lain dan adat budaya orang bukan Islam. Struktur masyarakat yang berbilang agama, keturunan dan suku kaum dikekalkan seperti yang sedia ada serta dihormati. Ketua-ketua suku diberikan peranan khusus bagi mengendalikan anggota-anggota suku masing-masing.
Sebagai contoh, sebelum hukuman dijatuhkan ke atas kaum Yahudi kaum Bani Quraizah yang berkomplot menentang kerajaan Islam bersama kaum Musyrikin Quraisy, Nabi Muhamad (saw) menyerahkan kuasanya kepada Sa’d bin ‘Ubadah, ketua kaum Khazraj dan Sa’d Mu’adh, ketua suku kaum Aus untuk menjalankan penyiasatan. Setelah terbukti kesalahan Bani Quraizah, maka baginda menyerahkan kepada Sa’d bin Mu’adh untuk menentukan hukumannya kerana beliau lebih arif mengenai kedudukan Bani Quraizah. Bukankah ini suatu penyelesaian bijak sebagai seorang pemimpin masyarakat dalam mengendalikan masalah-masalah rumit seperti itu.
Kewujudan suku-suku atau puak-puak secara secara terpisah-pisah begitu hanya dapat menyelesaikan masalah-masalah dalaman sahaja. Bagi mengendalikan masalah-masalah yang lebih besar di peringkat yang lebih tinggi atau di peringkat antarabangsa memerlukan suatu ikatan yang lebih besar pula. Dengan sebab itulah konsep ummah (komuniti) diwujudkan. Menerusi ikatan perpaduan ummah batas-batas suku atau kaum dengan kaum dengan sendirinya terhapus kerana konsep ummah mempunyai pengertian dan implikasi yang lebih luas. Di samping itu, ikatan akidah dan ketakwaan di kalangan ummah Islam memberikan makna dan implikasi sejagat. Bukanlah ini merupakan suatu dasar demokratik yang adil lagi bijaksana?
Apabila masyarakat Madinah menjadi kukuh dan stabil, maka timbullah perasaan iri hati dan curiga di kalangan kaum musyrikin Quraisy, kerana pada awalnya mereka hanya menyangkakan Nabi Muhamad (saw) hanya sebagai nabi dan rasul yang ditugaskan membawa risalah agama semata-mata. Penentangan kaum Quraisy ini kemudiannya menjadi lebih kuat apabila mereka dapat tahu bahawa Baginda telah menubuhkan sebuah Negara Islam di Madinah. Pihak kaum Yahudi juga turut menentang, walaupun sudah menandatangani perjanjian damai dengan Nabi Muhammad (saw) iaitu Piagam Madinah. Punca timbulnya perasaan irihati serta kebencian kaum Yahudi terhadap Baginda adalah disebabkan kerana keterserlahan kepimpinan Baginda dalam bidang kepimpinan.
Oleh yang demikian, memang tidak memeranjatkan apabila Baginda berjaya memenangi hati sebahagian besar penduduk dan bersedia untuk berkorban apa sahaja, walaupun nyawa mereka untuk Baginda dan tidak membenarkan sebarang kecederaan walaupun kecederaan yang sedikit berlaku kepada Rasul kesayangan mereka.
Sebagai contoh di dalam peperangan Uhud, seorang wanita telah kehilangan ayah, suami dan adik lelakinya. Apabila dia diberitahu tentang kematian mereka, beliau telah bertanya apakah pula yang telah berlaku kepada Rasulullah s.a.w. . Beliau telah diberitahu bahawa dengan ihsan daripada Allah s.w.t. Baginda telah selamat lalu beliau berkata “malang yang menimpa dan menyiksa keluargaku tidak penting asalkan Rasulullah s.a.w. selamat”
Memang luar biasa dan jarang sekali seorang manusia memiliki kesemua ciri kepimpinan. Orang yang memiliki ciri-ciri yang sedemikian lengkap ialah Rasulullah s.a.w. Secara fizikalnya Baginda seorang yang tegap, tampan serta menarik, berucap dengan hati yang berani, manakala jika berhujah Baginda sangat hebat dan tidak dapat dikalahkan. Baginda memiliki watak yang sangat sempurna, jujur, sederhana serta baik hati. Jika mencapai kemenangan di dalam pertempuran, Baginda menjadi seorang yang pemaaf, penyayang dan pemurah. Ketika berurusan dalam masalah yang dihadapi oleh orang ramai, Baginda merupakan seorang yang adil manakala dalam persoalan sosial, Baginda seorang yang bijak, bertimbangrasa serta memahami.
Sehubungan dengan itu, Thomas Carlyle telah mencatatkan; “Melalui kehidupannya kita dapati bahawa Baginda memiliki ciri-ciri yang begitu utuh, sekaligus seorang yang pengasih, bijak, serius, ikhlas, lemah lembut, peramah malah seorang yang lucu”. (Afzalul Rahman, 1993:840)
Ringkasnya, Allah s.w.t. telah menggabungkan kesemua ciri kemanusiaan yang paling baik dan sempurna dalam diri Nabi Muhammad s.a.w. dan telah menunjukkan kesemuanya melalui contoh kehidupan Baginda kepada pengikutnya. Firman Allah s.w.t. yang menjelaskan perkara ini adalah seperti berikut yang bermaksud;
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu contoh ikutan yang paling baik……..”
“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada (diri) Rasulullah itu contoh ikutan yang paling baik……..”
(al-Quran. al-Ahzab 33:21)
No comments:
Post a Comment