Mengintai lelaki calon syurga
Pada suatu malam selepas solat Isya’, Rasulullah telah bersabda,”malam ini aku akan memperkenalkan seorang calon penghuni syurga,’ sambil merujuk kepada seorang lelaki yang merupakan penduduk asal kota Madinah.Di antara sahabat yang hadir pada malam tersebut adalah Anas bin Malik dan Abdullah bin Umar.
Para sahabat tertanya-tanya sesama mereka dan tertarik untuk menyelidiki ibadat lelaki tersebut,apakah ibadah yang telah dilakukannya sehingga sebelum mati telah dipastikan masuk syurga. Lelaki tersebut kelihatan sederhana dengan wajah yang bersih serta janggut yang disisip rapi.Beliau bukanlah seseorang yang dianggap alim malah ibadahnya kelihatan biasa sahaja.
Keesokan harinya, Rasulullah mengulangi semula kata-katanya bahawa itulah calon penghuni syurga apabila lelaki tersebut muncul di hadapan mereka.
Abdullah bin Umar sudah tidak sabar untuk mengetahui kehebatan amalan lelaki tersebut lantas mengekori lelaki tersebut sehingga disedari oleh beliau.Kemudian Abdullah bin Umar meminta untuk tidur di rumah lelaki tersebut sebagai tetamu dengan katanya, “Sungguh saya ingin sekali bermalam di rumah saudara. Rasulullah telah memperkenalkan saudara sebagai orang yang paling baik.Saya ingin mencontohi ibadat saudara kerana saya pun ingin masuk ke syurga.”
“Tapi saya tidak ada ibadat yang lain selain dari apa yang saudara saksikan,”jelas lelaki tersebut.”Tapi saya tetap ingin menginap di rumah saudara,”balas Abdullah bin Umar.”Kalau begitu silakanlah ke rumah saya,”balas lelaki tersebut.
Abdullah bin Umar yakin beliau akan dapat menyelidiki rahsia ibadat lelaki tersebut dan meminta untuk masuk tidur awal dan dapat mengintai amalan lelaki tersebut di malam hari. Menurut Anas bin Malik, Abdullah bin Umar telah mengintai tidur lelaki tersebut selama tiga malam berturut-turut. Lelaki tersebut tidak kelihatan berzikir, membaca al Quran, bahkan tidak juga bangun untuk tahajjud di malam hari.
Apabila ditanya oleh Anas bin Malik, Abdullah bin Umar berkata,”Sangkaan saya meleset, saya sangka dia akan mengerjakan berbagai ibadat tetapi lelaki tersebut cuma bangun sekadar membalikkan badannya dan mengucapkan ‘Ya Allah” kemudian menyambung tidurnya semula.Ketiga-tiga malam itulah sahaja yang beliau lakukan,tiada apa-apa perbezaan pun,”.
Sebelum meninggalkan rumah lelaki tersebut,Abdullah bin Umar telah bertanya,”Wahai saudara, saya ingin sekali mengetahui ibadatmu.Sudilah kiranya saudara menjelaskan hal-hal yang boleh membawa saya ke syurga,?” “Tidak ada apa ibadat saya selain dari apa yang saudara telah saksikan,”jawab lelaki tersebut.
Abdullah bin Umar merasa hampa dan sebelum meninggalkan lelaki tersebut, tiba-tiba lelaki tersebut memanggilnya semula dan berkata,”Saudara, memang tiada ibadatku selain daripada apa yang saudara saksikan, tetapi saya tidak pernah iri hati terhadap sesiapa pun,”.
“Rupanya inilah sikap yang amat terpuji pada diri saudara.Maka saya berjanji tidak akan mencerca sesiapapun. Saya tidak akan iri hati pada sesiapapun.Terima kasih saudara kerana telah memberikan satu petunjuk yang berguna kepada saya,”balas Abdullah bin Umar.
No comments:
Post a Comment