Thursday 15 March 2012

Hujah seorang bekas Perdana menteri dan seorang pelajar

Saya ucap berbanyak terima kasih kepada adik Hilal Asyraf (mungkin cucu lebih tepat kerana saya sudah mencecah 87 tahun Masehi – iaitu 90 tahun mengikut Hijrah) kerana membuat teguran terhadap ucapan saya di UNIMAS baru-baru ini.
 
2. Sebelum saya menjelaskan maksud saya di dalam ucapan itu, saya harap adik Asyraf dapat menjawab secara ringkas (Ya atau Tidak) beberapa soalan yang ingin saya tanya kepada adik.

3. Soalan :

i) Punca ajaran agama Islam ialah Al-Quran, Hadith, fatwa, ajaran ulama’-ulama’ dan guru-guru agama. Diantara punca-punca ini yang mana satukah yang diutamakan?

ii) Sekiranya terdapat perlanggaran atau percanggahan antara hadith, fatwa, pendapat ulama’ dan guru-guru agama dengan apa yang terdapat dalam Al-Quran, apakah kita harus tolak Al-Quran (terutama ayat-ayat yang jelas) dan terima hadith, fatwa dan lain-lain?

iii) Ada pihak yang mendakwa bahawa Al-Bukhari telah mengkaji sebanyak 600,000 hadith tetapi menerima hanya 7000 sebagai sahih.

iv) Apakah kesahihan hadith-hadith ini semuanya sama dengan sahih pengkaji hadith lain termasuk Muslim, Tarmizi dan lain-lain. Apakah kita harus tolak kajian-kajian lain dari Bukhari?

v) Apakah ingatan manusia lebih tepat dan kekal dari catitan, seperti wahyu dari Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dicatit, kemudian dibukukan sebagai Al-Quran.

vi) Bukhari membuat kajian hadithnya 200 tahun selepas wafat Nabi. Apakah orang pertama yang melihat atau mendengar Nabi bersabda mencatat apa yang dilihat dan didengar dan catitan ini disimpan sehingga Bukhari mengkajinya? Atau apakah Bukhari bergantung kepada riwayat yang diperturunkan melalui beberapa generasi sehingga sampai kepada Al-Bukhari?

(Di sini jangan mula cap saya sebagai anti-hadith. Saya pegang kuat kepada hadith asalkan ia tidak berbeza, bercanggah dan menafi ayat-ayat Al-Quran. Saya sedar saya tak mungkin tahu bagaimana sembahyang jika saya pegang semata-mata kepada ayat-ayat dalam Al-Quran. Menuduh seseorang itu anti-hadith seperti menuduh seseorang itu kafir adalah cara mereka yang tidak dapat pertahan kefahaman dan pendapat mereka).

vii) Tuhan menjadikan manusia berbeza dengan haiwan kerana manusia diberi akal fikiran. Apakah agama Islam melarang manusia dari mengguna akal dan berfikir?

Saya menunggu jawapan daripada adik Hilal Asyraf supaya dapat saya betulkan diri saya.

chedet


***********************

Manakala ini adalah surat Sdr Hilal Asyraf buat Che Det

Assalamu’alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barokatuh.


Alhamdulillah, pada hari ini saya telah menulis status berkenaan mantan perdana menteri yang kita kasihi, apabila dia berkata berkenaan Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah, dan bukannya datang daripada Al-Quran.


Apa yang suka saya ketengahkan di dalam isu ini adalah kenyataannya – Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah. Tiada daripada Al-Quran.


Maka, saya rasa sangat kelakar, untuk seorang mantan perdana menteri yang memerintah sebuah negara ‘Islam’ untuk jangka masa lebih dua dekad, bahkan masih hidup hingga ke hari ini, untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.


Kita ketepikan dahulu persoalan ‘Bagaimana Sepatutnya Hudud Dilaksanakan’. Sebab nampaknya, persoalan ‘Apakah Hudud Itu Daripada Allah’ pun tidak diketahui rupanya.


Tiada Di Dalam Al-Quran? Tiada Di Dalam Hadith? Rekaan?


Saya hanya seorang pelajar Usuluddin, tahun akhir, di University of Yarmouk, Irbid, Jordan. Saya tidak mendalami syariah(peraturan) Islam sebagaimana pelajar Fiqh. Saya hanya ‘budak Usul’, atau ‘budak akar’ di dalam bidang agama ini. Justeru, saya belajar akan Aqidah, Tafsir Al-Quran, dan Hadith.


Sebab itu, saya mahu bahaskan tentang “Apakah benar Hukum Hudud itu rekaan ulama’ Fiqah?”. Saya tidak layak untuk membahaskan “Bagaimana Melaksanakan Hukum Hudud.” Semestinya, saya serahkan yang itu kepada yang lebih arif. KERANA SAYA TIDAK TAHU. Saya ulang, kerana saya tidak tahu. Apa yang saya tidak tahu, saya tak akan pandai-pandai sentuh.


Maka, di sini buktinya bahawa Hukum Hudud itu wujud di dalam Al-Quran dan Hadith, bukannya rekaan Ulama’.


Ini hukum mencuri:


“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah Al-Maidah ayat 38. Ini dalil hukum hudud untuk mencuri. Jelas, ini adalah Al-Quran.


Diriwayatkan pula di dalam Sohih Bukhari Hadith no 1516 Jilid 3:


Dari Aisyah r.a., Orang Quraisy merasa tidak senang akan hukuman yang dijatuhkan kepada seorang perempuan suku Makhzum mencuri. Mereka berkata: “Siapakah yang boleh menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w. supaya perempuan itu dibebaskan saja?” Kata mereka: “Siapakah yang berani selain Usamah bin Zaid, kesayangan Rasulullah s.a.w.!” Usamah lalu menyampaikannya kepada beliau. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Mengapa engkau memberikan pertolongan untuk membebaskan seseorang dari had (hukum) Allah?” Kemudian beliau berdiri lalu berpidato, sebagai berikut: “Orang-orang yang sebelum kamu dibinasakan, kerana kalau orang yang terhormat (mulia) mencuri, mereka biarkan saja. Tetapi kalau yang mencuri itu orang lemah, mereka jatuhi hukuman. Demi Tuhan! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, saya potong juga tangannya!”


Kemudian hukum zina pula:


“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” Surah An-Nur ayat 2.


Hukum Rejam untuk penzina yang telah berkahwin:


“Dari Jabir bin Abdullah Al-Ansar RA, bahawa seorang lelaki dari Aslam datang kepada Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa dia telah berzina. Pengakuan ini diucapkannya empat kali. Lalu Rasulullah SAW menyuruh supaya orang itu direjam. Sesungguhnya dia telah berkahwin.” Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, no 1817, Jilid 4, Bab Zina.


Jelas, sekali lagi, hukum ini daripada Al-Quran dan Hadith.


Kemudian hukum murtad pula:


“Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.” Hadith Riwayat Bukhari di dalam Sohihnya, Hadith no 6922. Jelas, ini adalah hadith yang sohih.



Kemudian hukum Qazaf(menuduh orang lain berzina):“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik” Surah An-Nur ayat 4.


Sekali lagi, jelas, ini adalah daripada Al-Quran. Daripada Hadith yang Sohih.


Justeru, amatlah dangkal untuk seseorang itu sebenarnya menyatakan Hukum Hudud Adalah Rekaan Ahli Fiqah dan bukannya daripada Al-Quran.


Hukum Hudud Tidak Adil. Merugikan Orang Islam.


Dinyatakan juga oleh Mantan Perdana Menteri tersebut bahawa, Hukum Hudud ini tidak adil. Dia berulang kali menyebut bahawa Islam menekankan keadilan. Kononnya Al-Quran sendiri menyatakan akan keadilan. Hukum dengan adil. Seakan-akan, melaksanakan hudud bukan satu keadilan, bahkan merugikan orang Islam.


Katanya, kalau orang Islam kena potong tangan, dan orang bukan Islam tak kena potong tangan, bukankah itu tidak adil dan merugikan?


Sebenarnya, dari segi perlaksanaan Hukum Hudud, perlaksanaannya adalah sangat ketat. Bukan semua kecurian dihukum dengan hukuman potong tangan. Perkara ini, pelajar yang mendalami Fiqah lebih arif.


Dan sebenarnya, amatlah saya terkilan dengan kenyataan Mantan Perdana Menteri kita itu. Kerana, seakan-akan, bangsa Melayu, orang islam ini kaki mencuri pula. Bukankah kita adalah bangsa yang disematkan adab dan sopan, dan mencuri bukanlah perkara kebiasaan di dalam adat kita sendiri (atau sebenarnya iya?). Maka mengapa perlu takut sebenarnya akan hukum ini? Ramai orang Islam akan ketiadaan tangan? Pada saya itu alasan yang sangat dangkal.


Dr Asri Zainal Abidin adalah antara ulama’ yang saya suka penjelasannya akan perlaksanaan hudud. Boleh rujuk kepada video-video beliau. Saya second apa-apa sahaja fatwa beliau berkenaan hudud.


Setakat ilmu saya, perlaksanaan hududlah yang paling adil sekali dalam peraturan dunia. Semestinya kerana Allah SWT yang memberikan hukum ini kepada kita adalah Yang Maha Adil. Kerana itu hukumNya juga adalah adil. Bahkan, pada hemat saya, dengan melaksanakan hukum ini, Ummat Islam akan menjadi Ummat yang paling layak dicontohi kerana disiplin dan ketelusan mereka. Yang menjadikan kita takut dengan Hudud ini adalah daripada penerangan yang salah, dan dimomokkan pula dengan perlaksanaannya yang dikatakan barbarik, ganas, tidak berperasaan. Tidak. Hakikatnya tidak.


Apa-apa hal pun, untuk lebih detail berkenaan BAGAIMANA HUKUM HUDUD ITU PERLU DILAKSANAKAN, saya serahkan kepada rakan-rakan saya dalam bidang syariah untuk menjelaskannya. Jelas, Dr Asri Zainal Abidin banyak membahaskannya.


Penutup: Saya Tidak Perlu Menjadi Pembangkang atau Perdana Menteri Untuk Memberikan Teguran Ini.


Saya tidak perlu menjadi Pembangkang untuk menegur Mantan Perdana Menteri ini sambil menjelaskan pula perkara ini di khalayak ramai. Pada saya, ulama’-ulama’ Kerajaan perlu bertegas memberikan penjelasan akan hal ini.


Saya juga tidak perlu menjadi Perdana Menteri, untuk membetulkan statement – Hukum Hudud adalah rekaan Ahli Fiqah dan bukan daripada Al-Quran.


Kalau semua orang perlu menjadi Perdana Menteri baru boleh tegur Perdana Menteri atau Mantan Perdana Menteri, maka dalam sejarah Malaysia ini tinggal 3 orang sahaja yang layak memberikan teguran.


Dan, memandangkan saya adalah pelajar Usuluddin yang mendalami Aqidah, suka saya menekankan satu perkara penting di sini: ”Menolak apa-apa sahaja daripada Al-Quran, hukumnya adalah kafir.” Sebenarnyalah.


"Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir. “ Surah Al-Maidah ayat 44.


“Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” Surah Al-Maidah ayat 45.


“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” Surah Al-Maidah ayat 49.


Saya dididik oleh guru Aqidah saya, Dr Ala’ Hilat, untuk tidak menghukum orang lain kafir. Saya tidak sesekali menyatakan Mantan Perdana Menteri kita itu kafir. Tetapi saya mahu tegaskan bahawa, menolak apa-apa daripada Al-Quran, adalah kafir. Guru saya kata, jika kita nampak orang sujud kepada pokok, katakanlah mungkin dia tidak tahu. Kemudian perjelaskanlah.


Maka saya menganggap, Mantan Perdana Menteri saya, sepanjang 22 tahun dia memerintah dan sehingga kini dia hidup, tiada siapa menjelaskan hal ini kepadanya. Dia TIDAK TAHU.


Maka saya jelaskan di sini secara ringkas.


Saya juga ingin menegaskan bahawa, sekiranya kita bukan AHLI di dalam bidang agama, maka janganlah bicara sembarangan. Bertanyalah jika benar tidak mengetahui. Mintalah penjelasan. Apatah lagi sekiranya kita seorang public figure yang mempunyai ramai pengikut fanatik yang mengikut kita dengan membuta tuli, dan sanggup mempertahankan kita walau apa yang kita sebut itu salah.


Sampai di sini sahaja nota do’if saya.


Mantan Perdana Menteri saya berbicara akan hal ini di khalayak ramai. Maka di sini nota ini saya persembahkan di khalayak ramai.



Sesiapa mahu sokong pendapat Mantan Perdana Menteri kita itu, boleh fikir 10 kali lepas baca nota ini.



Saya mahu kata di sini bahawa, sesiapa yang mampu sampaikan nota ini kepada Mantan Perdana Menteri saya itu, dia patut sampaikan.Saya tak tahu cara mana saya boleh sampaikan biar betul-betul sampai kepada dia.Sekian.



~ Seorang hamba,



Hilal Asyraf






.








Subuh di Pulau Melaka Kelantan

"Ulama, Menteri Besar dan Imam.
Ini adalah merupakan suatu pemandangan Subuh ‘biasa-biasa’ di Kelantan pada hening Jumaat di Masjid Pulau Melaka, Kota Bharu Kelantan. Solat Subuh atau biasanya dipanggil Subuh Sajadah akan diimamkan sendiri oleh Tuan Guru Dato’ Menteri Besar, Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat walaupun dalam keadaan beliau yang uzur.



Para jemaah datang dari segenap penjuru Kota Bharu menyebabkan Masjid 2 tingkat ini sentiasa melimpah keluar setiap pagi Jumaat. Berdasarkan pengalaman saya bermastautin di luar Kelantan selama lebih daripada 5 tahun, keadaan ini sangat ‘rare’ di negeri-negeri lain. Inilah Subuh yang digeruni Yahudi. Inilah Subuh di Negeri yang dikatakan miskin. Miskin Material, tapi percayalah kita kaya Akhirat. Sesuatu yang tidak ada di negeri lain adalah berkat Ulama terdahulu dalam menegakkan kalimah Allah dibumi Kelantan dan Pattani menyebabkan negeri ini dan rakyatnya sangat cintakan Islam. Rakyat Kelantan tidak memuja Tuan Guru Nik Aziz bahkan jauh dari itu. Tapi rakyat telah dididik dan diasuh minda oleh ‘orang tua ini’ supaya cintakan Islam dan mengambil Islam sebagai suatu cara dan gaya hidup, dan bukannya seperti yang diamalkan oleh mereka2 yang lain yang mengambil solat sahaja dari Islam. Islam tidak mengajar penganutnya untuk berfikir kebelakang, malah kita adalah perintis pemikiran ke hadapan iaitu Akhirat. Kita banyak sangat fikir dunia menyebabkan kita melihat dunia material sesuatu yang perlu diberi fokus. Ingat, kita dalam permusafiran, sebagai adat dalam permusafiran, kita perlu ambil yang mana perlu sahaja kerana kita perlu berjalan lagi dan terus berjalan hingga ke negeri yang kekal abadi. Itulah Akhirat. Kita tidak diajar untuk bermewah. Kita tidak diajar untuk itu kerana untuk apa diciptakan syurga jika di dunia ini kita telah memasuki ‘syurga’. Hiduplah sederhana. Kita di Kelantan, Alhamdulillah. Walaupun tidak semaju mereka, tapi nilai Islam itu sangat mahal.






Jemaah melimpah ke bibir masjid.



Subhanallah!



Islam di Kelantan.



Usai Solat Subuh, Tuan Guru memimpin bacaan Mathurat bersama-sama jemaah.



Majlis tahniq akan diadakan selepas solat Subuh setiap Jumaat sekiranya Tuan Guru Nik Aziz tiada urusan di luar Kelantan dan kesihatan yang mengizinkan.



Percuma! Beliau tidak mengenakan sebarang bayaran.



Setiap kali majlis berlangsung, hampir 40 orang bayi akan ditahniq sendiri oleh beliau.



Berkat Seorang Ulama.



Penat dan lelah, beliau tidak pernah menolak permintaan untuk ditahniq.



Seorang tukang urut sentiasa berada di belakang beliau, dan jika beliau terasa penat, beliau akan minta tangguh seketika untuk solat sunat 2 rakaat untuk menambah tenaga. Allahu Akbar!



Jemaah yang sedang menunggu giliran diluar.



Walaupun mereka berada disekitar Kota Bharu, dan walaupun keadaan yang sempit untuk parkir kenderaan, ramai jemaah hadir dengan kenderaan masing2. Orang Kelantan memang miskin!



Kita tidak semiskin seperti yang digembar-gemburkan mereka. Bahkan kita kaya ! Kaya akhirat.

Surat Rasulullah Kepada Pemerintah

"Madinah, 14 Mac 2012 - Ketika mengurusi politik luar negara, Rasulullah SAW telah mengirimkan surat-surat diplomatik, melalui utusan diplomatik baginda yang mana kandungannya mengajak pemimpin dan rakyat negara lainnya untuk memeluk agama Islam.

Sebagai ketua Negara, Rasulullah SAW adalah Amirul Jihad (ketua/pemimpin perang) dalam pelbagai pertempuran dan mengangkat beberapa orang sahabat baginda sebagai Komandan di dalam beberapa peperangan.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgQ9dqFzlUJ9LPE0saP4PYLy7hK3SNzS6EKduFpU8cIHk5daG5EnOKO634OFPYkcU3z-OjDIb5epMvQgne_cGEvJ7pX4Qyimn_G4Ji65TL-MAS_NzHPgHJR1wjDheqVkxSdWPjpcWahNFA/s1600/surat.jpg

Baginda mengutus Hamzah bin Abdul Muthalib dan sahabat lainnya dalam pasukan perang menyerang Quraisy, mengutus antara lain Zaid bin Haritsah menyerang Rom, Khalid bin Walid menyerang Dumatul Jandal dan banyak lagi.

Kesemua hal ini hanya boleh/layak dilakukan oleh seorang Ketua Negara dan semua fakta ini merupakan hakikat yang tidak boleh dibantah bahawa Madinah adalah sebuah Negara Islam dengan Ketua Negaranya adalah Rasulullah SAW.

Bermula dari hijrah Rasulullah SAW yang keluar dari Negara Kufur menuju tegaknya Negara Islam, agama Islam yang sebelum itu hanya menjadi anutan pengikutnya sahaja kemudian telah bertukar menjadi agama yang memerintah negara dan memerintah dunia.

Agama suci ini telah zahir di atas agama-agama yang lain dengan peranan Negara (pemimpin) yang menerap dan mendakwahkannya ke seluruh pelosok dunia. Namun malangnya, sejak kejatuhan Negara Islam lebih kurang 88 tahun Hijrah yang lalu (28 Rajab 1342H), agama Islam sudah tidak lagi memimpin dunia kerana tidak ada lagi Negara (pemimpin) yang menerap dan mendakwahkannya.

Umat Islam pula sering dipalingkan dari makna hijrah yang sebenar oleh para pemimpin dan oleh ulama su’ (buruk) sehingga sudah tidak ada kesedaran dari sebahagian besar umat Islam bahawa hijrah Rasulullah adalah sesungguhnya bermaksud keluar dari Negara Kufur menuju Negara Islam, dan ini merupakan sebuah kewajipan.

Adapun kewajipan mendirikan Negara Islam (Khilafah) adalah merupakan konsekuensi dari kewajipan menerapkan seluruh syariah Islam sebagai bukti keimanan seorang Muslim kepada Allah SWT. Keberadaan negara (kekuasaan) adalah hal yang mutlak untuk itu.

Kewajipan menegakkan syariah Islam dalam pemerintahan seperti menerapkan hudud Allah, qisas, ta’zir, menetapkan mata wang berdasarkan dinar (emas) dan dirham (perak), mengadili pihak yang bersengketa, menjatuhkan hukuman terhadap pelaku jenayah, mengirim pasukan perang, menjamin pendistribusian harta di tengah-tengah masyarakat, menjamin keperluan pokok (basic needs) rakyat, mengambil jizyah, kharaj, ghanimah, jihad dan banyak lagi adalah termasuk dalam bidangkuasa (authority) negara, bukannya bidang kuasa mana-mana kelompok atau individu.

Negara Islam (Khilafah) wajib mengembang dakwah Islam ke seluruh dunia dengan metode yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW, iaitu jihad fi sabilillaah. Sebelum melakukan perang (jihad fi sabilillah), Negara Islam (Khilafah) terlebih dulu menawarkan beberapa tawaran alternatif:

(1) memeluk Islam;
(2) bergabung dan tunduk terhadap Daulah Islamiyah serta bagi ahl adz-dzimmah diberi kebebasan untuk menganut agamanya masing-masing dengan membayar jizyah;
(3) jika dua pilihan tersebut ditolak, secara syar‘î Daulah Islamiyah berhak memerangi mereka dengan jihad fi sabilillah.

Berikut Surat-Surat Rasulullah SAW yang diutus dengan cop rasminya.

1. Surat Rasul, ketua Negara Islam untuk Heraclius: Dihyah bin Khalifah Al-Kalbi R.A. diutuskan kepada Qaisar (Maharaja Rom).


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg2mr8THMw_6YN_oLHVU1rXvMDM3L6w6idnXMPbofFtSrLUcoJejPTdsFnsZ_xmmu7ZWjLQXWxaFwiq-I1NA5WwlE5x6A0E769OXLfeKBrDfcKdahBIf_ofsGG0B35XEQPgkZhFojZFdKQ/s1600/surat-nabi-untuk-heraclius.jpg

Terjemahan :-

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Daripada Rasulullah kepada Hiraqal, Maharaja Rom,

Sejahteralah bagi orang yang mengikuti Al-Huda(petunjuk), amma ba`du,

Maka sesungguhnya aku menyeru engkau dengan seruan Islam,

Masuklah Islam nescaya engkau akan selamat dan Allah akan memberikan kepada engkau pahala sebanyak dua kali, maka jika engkau berpaling maka sesungguhnya ke atas engkau dosa kaum Al-Arisiyyin( kaum Nasrani ) dan :

"Katakanlah: "Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka:

"Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah. [ Surah Ali-Imran : 64 ]


2. Surat Rasul, ketua Negara Islam untuk Raja Kisra: `Abdullah bin Huzaafah As-Sahmi R.A. diutuskan kepada Kisra (Maharaja Parsi).


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjd6yH8stFj2LUK9T-Ihj-pjwhGjr0oGWHVbRNTZIaGDGoI4Cy__lKhRPmnr12VJLvBusJtL4akU-3i1UMKplptSpIQNRE4VUWWDe__IKE1NNA_8t3Q1r9hkoBRGW2TZmDQaJrx44uxlFc/s1600/surat-nabi-untuk-kisra-raja-furs_pa.jpg

Terjemahan:-

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Daripada Muhammad Rasulullah kepada Kisra Maharaja Parsi,

Sejahteralah kepada sesiapa yang mengikuti petunjuk dan beriman kepada Allah dan RasulNya dan menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah yang satu tidak ada sekutu bagiNya, dan bahawasanya Muhammad itu hambaNya dan RasulNya,dan aku menyeru engkau dengan seruan Allah sesungguhnya aku ialah Rasulullah kepada manusia keseluruhannya, agar aku memberi peringatan bagi sesiap yang hidup dan membenarkan perkataan ke atas orang-orang kafir, maka masuklah kamu ke dalam Islam nescaya engkau akan selamat, maka jika engkau enggan maka sesungguhnya ke atas engkau dosa majusi.


3. Surat Rasul, ketua Negara Islam untuk Muqaiqis : Utusan baginda kepada Muqaiqis Maharaja Qibti Mesir


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEilGmdaMA7HK9aHqqtI3N50t8qaatryp7pH4WOow36MZCd8RICXZ_xTxwoY1uAlK11kmNjZRYVNSJC8k6qtTAy_j_qHfO0-sLzG2qgGuk1Deyuolai6g16XaFqufquq4dCDcUcZ7BIy160/s1600/surat-nabi-untuk-muqauqis_page_1.jpg

Terjemahan :-

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
daripada Muhammad hamba Allah dan RasulNya kepada Al-Muqauqis pembesar Al-Qibt(Mesir),

sejahteralah bagi sesiapa yang mengikuti petunjuk, dan Amma ba`du, maka sesungguhnya aku menyerumu dengan seruan Allah dan agar kita tidak mempersekutukannya dengan sesuatu apa pun dan tidak menjadikan sebahagian kita dengan sebahagian lain sebagai tuhan-tuhan yang disembah melainkan Allah, maka jika kamu berpaling maka ke atasmu dosa Al-Qibti, dan wahai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka:

"Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah. [ Surah Ali-Imran : 64 ])".


4. Surat Rasul, ketua Negara Islam untuk Najasyi : `Amru bin Umayyah Ad-Dhamri R.A diutuskan kepada Najasyi (Maharaja Habsyah).


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEi7gKFkuHP4znZSxqy0PUN7Hb6UQ8syYSBH75_aJXrp6P4CTum-joPAtinMxhF3nQa9uRUCioaZJ01SX4aOWanYItkSSoNd3T89JT8-PjHwXpWvMUihGvZgmO5tURib-hZUXqgzdau9YAU/s1600/surat-nabi-untuk-al-najasyi1.jpg

Terjemahan Melayu:-

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Daripada Muhammad Rasulullah kepada An-Najasyi Maharaja Habsyah, sejahteralah bagi sesiapa yang mengikuti petunjuk, amma ba`du, maka sesungguhnya aku memuji kepadaMu Allah yang tiada Tuhan yang berhak disembah melainkanNya Dialah Al-Malik, Al-Quddus, As-Salaam, Al-Mukmin, Al-Muhaimin,

Aku bersaksi bahawasanya `Isa bin Maryam ialah roh Allah dan KalimahNya yang diletakkannya kepada Maryam Al-Batul At-Taiyyibah Al-Hasinah (yang terpelihara dari sebarang tuduhan) lalu dia mengandungkan `Isa daripada rohNya dan tiupanNya sebagaimana Dia menciptakan Adam dengan tanganNya, dan sesungguhnya aku menyerumu kepada Allah yang satu tiada Tuhan yang berhak disembah melainkanNya, dan agar saling berwala` atas ketaatan kepadaNya dan jika engkau mengikutiku dan beriman dengan apa yang telah datang kepadaku kerana sesungguhnya aku ialah Rasulullah dan aku menyerumu dan tentera-tenteramu kepada Allah `Azza wa Jalla, dan sesungguhnya aku telah sampaikan dan aku telah beri nasihat maka terimalah nasihatku, dan sejahteralah bagi sesiapa yang mengikuti petunjuk.


Wahai para pemerintah yang memegang tampuk kekuasaan ketika ini!

Kalian telah di izinkan Allah Azza Wa Jalla untuk memegang kuasa selama yang Allah kehendaki, maka ambillah Al Quran dan As Sunnah sebagai petunjuk dalam pemerintahan. Nescaya malapetaka umat ketika ini akan terpadam dan sinar kemuliaan akan datang.

Jika kalian meninggalkan Al Quran dan As Sunnah sebagai petunjuk dalam pemerintahan, maka umat bersaksi atas kalian ketika mana pemerintahan kalian diangkat. Seisi langit dan bumi tidak memandang kalian kecuali dengan penuh kehinaan seperti keadaan Hosni Mubarak,Ben Ali,Muammar Gaddafi,Ali Abdullah Salleh,yang menyoroti titik akhir kejatuhan, Bashar Assad dan sekalian pemimpin yang akan diangkat kekuasannya kelak.

Janganlah sekali-kali kalian menjadi penghalang kepada usaha menegakkan agama Allah!Janganlah sekali-kali kalian menjadi penghalang kepada usaha menegakkan Khilafah. Sesungguhnya dosa dan azab yang pedih dari Allah Azza Wa Jalla akan menimpa sesiapa sahaja yang menjadi penghalang tegaknya agama Allah.

Allah benar-benar berkuasa ke atas kalian wahai para pemerintah!"

Saturday 3 March 2012

Khalifah Islam yang terakhir....

Memperingati 88 tahun sejarah hitam

sejarah hitam 300x195 Memperingati 88 tahun sejarah hitam
Khalifah terakhir Islam meninggalkan istana atas arahan Presiden Turki yang pertama, Mustafa Kamal Atartuk pada 3 Mac 1924.
Hari ini 3hb Mac 2012 adalah bertepatan dengan 88 tahun sejarah hitam bagi umat Islam di seluruh dunia.
Dengan sokongan dan kekuatan dari British dan Zionis, Mustafa Kamal Atarturk telah mengumumkan penghapusan sistem Khilafah (yang berusia 1301 tahun sejak zaman Abu Bakar as Siddiq) dan pemisahan urusan agama Islam daripada kenegaraan bermula pada tepat pagi 3hb Mac 1924.
Kamal Atarturk telah memerintah supaya Khalifah terakhir, Sultan Abdul Majid II supaya meninggalkan Turki sebelum subuh pada hari yang sama. Polis dan tentera dikerah berhimpun di istana Khalifah dan memaksa Khalifah memasuki kereta dan seterusnya membawanya ke Switzerland.
atarturk 300x206 Memperingati 88 tahun sejarah hitam
Di antara hobi pemimpin korup yang dikatakan sebagai 'Bapa Kemodenan Turki'
Atartuk kemudiannya telah mengumpulkan semua waris Khalifah dan mengusir mereka keluar daripada Turki. Kesemua aktiviti keagamaan dimansuhkan, semua sekolah agama ditukar kepada sekolah sekular, mahkamah Islam dimansuhkan, azan diluangkan dalam bahasa Turki dan undang-undang sekular dilaksanakan sepenuhnya.
Akhirnya impian British dan Zionis untuk meruntuhkan Khilafah Uthmaniyah sebagai Daulah Islam yang terakhir telah tercapai, melalui tangan anak didik mereka iaitu Mustafa Kamal laknatullah.
Setelah jatuhnya khilafah, maka satu demi satu wilayah umat Islam jatuh ke tangan musuh termasuklah bumi Palestin yang diidam-idamkan oleh Zionis dan pihak barat.
Kini, telah hampir 90 tahun umat Islam kehilangan tempat berpaut untuk naungan dan pimpinan khalifah.
Bagaimanakah keadaan umat Islam kini di Palestin, Iraq, Libya, Syria, Kashmir, Pattani, Selatan Filipina dan negara-negara yang lain di seluruh dunia termasuk di negara tercinta Malaysia ?
Rata-rata umat Islam hidup terkontang-kanting tanpa pimpinan dan hala-tuju perjuangan walaupun jumlah meraka kini telah melebihi seperempat daripada keseluruhan penduduk dunia (1.7 bilion daripada total 7 bilion).
Persoalannya : Apakah sumbangan kita ke arah mengembalikan kedaulatan dan kepimpinan Islam yang sangat diperlukan oleh umat dan dunia antarabangsa pada ketika ini?
Think globally and act locally…..
Juga Turki – sila baca : http://zainurrashid.com/hidup-biar-terhormat-mati-biar-mulia%E2%80%A6/